Pemasaran Keterlaluan Punca Bisnes Merudum
Sering kita dapat saksikan kemunculan bisnes-bisnes dan jenama-jenama tempatan orang kita dari semasa ke semasa. Bisnes mereka ini nampak meroket dalam masa yang singkat.
Namun setelah beberapa ketika, bisnes-bisnes dan jenama-jenama berkenaan semakin senyap dan ada yang terus sunyi. Baru berbisnes tidak sampai tempoh 2 tahun telah timbul masalah-masalah yang merupakan perkara asas dalam pengurusan bisnes.
Oleh kerana gagal ditangani dengan baik, kebanyakan daripada mereka hilang terus dari pasaran yang rata-rata hanya mampu bertahan 3 tahun paling lama.
Berikut adalah kesan aktiviti pemasaran keterlaluan yang berpotensi memberi kesan negatif kepada sesebuah bisnes:
1. ‘OVER PROMOTE’
Sekiranya aktiviti-aktiviti pemasaran diadakan secara keterlaluan, bisnes berdepan dengan satu risiko yang mengakibatkan kumpulan sasaran merasa muak, jemu dan tidak lagi mahu untuk memberi perhatian kepada jenama, produk dan servis yang dipromosikan.
Kempen pemasaran yang radikal dan keterlaluan juga memberi kesan ke atas prospek dan pelanggan terasa didesak dan dipaksa untuk membuat pembelian. Rasa ketidakselesaan ini mengakibatkan kumpulan ini menjauhkan diri.
Kajian menyeluruh dan terperinci perlu dilakukan untuk mengenal karekter segmen sasaran dari perilaku dan psikologi mereka sebelum sesebuah kempen pemasaran dimulakan secara agresif. Kegagalan untuk mempunyai pemahaman mendalam ke atas segmen sasaran hanya akan memberi kesan negatif kepada bisnes.
2. JANJI YANG KETERLALUAN
Sering berlaku dimana sesebuah kempen pemasaran berjaya menarik perhatian dan minat kumpulan sasaran untuk membuat pembelian disebabkan ‘janji-janji manis’ dan persepsi yang berjaya ditanam di dalam minda.
Namun begitu, ketidakcekapan di pihak pengurusan operasi dan pengeluaran yang gagal diurus baik untuk mengikut rentak kempen pemasaran yang keterlaluan sering kali menyampaikan produk dan servis tidak sepertimana yang telah dijanjikan.
Kesan langsungnya adalah pembeli dan pelanggan mula hilang kepercayaan terhadap jenama dan syarikat dan tidak membuat pembelian berulang di masa hadapan. Nama baik yang telah dibina mula tercalar dan akan kehilangan kesetiaan di kalangan pelanggan.
Oleh yang demikian, sesebuah bisnes harus dibangunkan secara serata diantara bahagian pemasaran, penjualan dan operasi pengeluaran. Kedua-dua bahagian ini perlu diselarikan bagi mengekalkan keterjaminan kualiti produk dan servis kepada pembeli dan pelanggan.
Kesemua bahagian di dalam organisasi sesebuah bisnes itu perlu berkongsi satu misi yang sama dan maklumat semasa yang lengkap agar segala keputusan yang dibuat di bahagian masing-masing menghasilkan output yang sepadan.
3. BELANJA PEMASARAN YANG KETERLALUAN
Seakan menjadi trend dan ikutan anak-anak muda dan kepada mereka yang baru memulakan perniagaan terlalu obses dengan aktiviti pemasaran keterlaluan yang berbayar.
Masing-masing seolah-olah berlumba-lumba untuk berbelanja besar ke atas aktiviti pemasaran samada di talian atau saluran konvensional. Ini belum lagi dikira jumlah yang dibelanjakan ke atas duta produk dan pempengaruh untuk kempen pemasaran jangka masa pendek.
Sebarang perbelanjaan termasuk belanja pemasaran haruslah berstrategi dan sentiasa dianalisa keberkesanannya di dalam menjana pulangan kepada bisnes.
Namun, majoriti mereka yang baru memulakan perniagaan terlalu obses berbelanja ke atas aktiviti pemasaran dan memfokus berbelanja tanpa mengawal selia pulangannya.
Perbelanjaan pemasaran tinggi yang berterusan tanpa bijak berstrategi mendedahkan sesebuah bisnes kepada risiko kerugian. Seterusnya membawa sesebuah bisnes itu kepada masalah aliran tunai yang tidak lancar dan membantutkan perkembangan bisnes.
Garis panduan umum untuk meletakkan belanjawan kewangan ke atas aktiviti dan kempen pemasaran adalah syarikat harus berbelanja di bawah paras 5% dari jumlah jualan untuk segmen B2B dan di bawah paras 10% untuk segmen B2C.
Namun begitu, di peringkat awal berbisnes dan di fasa awal pengenalan ke dalam pasaran, sesebuah bisnes dibenarkan untuk berbelanja di antara 15% ke 25% dari jumlah jualan dijangka untuk tujuan pemasaran.
Pengurusan belanjawan kewangan yang tidak cekap ke atas pemasaran berpotensi besar memberi risiko kerugian seterusnya masalah aliran tunai yang tidak lancar. Jika ia dibiarkan berlanjutan maka sesebuah bisnes akan mengalami masalah untuk terus beroperasi.
Semoga artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi manafaat kepada anda.
Selamat berbisnes.

